Sunday, July 18, 2010

Hari Sabtu cukup sibuk bagi kami.Jam 9 pagi saya memberi ceramah motivasi kepada murid-murid sekolah yang datang membuat lawatan ke hospital .Bagi saya ceramah sebegini amat penting supaya anak-anak kita tahu hala tuju dalam hidup mereka. Walaupun yang hadir kurang dari 30 orang tapi yang penting mesej sampai. Saya lihat mereka cukup memberikan tumpuan .Di samping ceramah motivasi saya juga menyampaikan sedikit maklumat tentang kerjaya di hospital kerana kita masih kekurangan pakar yang berpengalaman.Jururawat saja masih diimpot dari luar terutama India dalam bidang ICU,dan dewan bedah.
Lepas ceramah saya doktor pakar kanak-kanak memberikan ceramah tentang penjagaan kesihatan untuk mengelakkan jangkitan kuman. Perkara asas yang perlu diamalkan dalam hidup adalah menjaga kebersihan diri.Sebab itu kita diwajibkan solat 5 kali sehari paling minima kerana sebelum solat kita akan mensucikan diri.Hasil kajian yang dilakukan didapati kurang dari 40 persen doktor dan jururawat yang mencuci tangan sebelum dan selepas menyentuh pesakit. Sebab itu jangkitan kuman tak dapat dikawal secara sempurna. Mencuci tangan adalah perkara asas untuk mengelakkan jangkitan kuman.

Sebelah petang diadakan seminar diabetic care dimana kami menjemput doktor-doktor swasta yang membuka klinik. Ceramah diberikan oleh pakar endokrinology, pakar perbidanan dan pakar bedah tulang dtentang penyakit Diabetis mellitus. Dalam bahasa awam penyakit ini disebut kencing manis kerana memang dalam kencing pesakit terdapat gula .Dulu sebelum ada peralatan canggih maka para saintis merasa air kencing tersebut dan didapati ianya memang manis. Sebab itu dalam istilah Inggeris disebut sweet sugar.Dari segi statistik pada tahun 1986 terdapat 6.3% pengidap kencing manis tetapi angka ini bertambah menjadi 15 % pada tahun 2006. Mungkin tahun 2010 dah jadi 18% dan angka ini akan terus bertambah kerana tabiat pemakanan masyarakat kita. Ada tiga faktor utama iaitu pemakanan, penjagaan berat badan dan kegiatan jasmani. Kalau ketiga-tiganya ini tak berjalan serentak maka kemungkinan untuk mendapatkan kencing manis akan menjadi begitu tinggi apa lagi jika ada faktor genetik. Tiap tahun terdapat lebih dari 5% penyakit yang baru dikesan.Yang amat mengejutkan saya adalah jumlah terbanyak terdapat di Negeri Sembilan iaitu sebanyak 15.3% jauh melebihi angka diperingkat nasional iaitu 11.55%. Pernah satu masa dulu negeri tertinggi adalah Kelantan tetapi sekarang Negeri Sembilan yang menjadi jaguh. Wah negeri yang handal dengan masakan lemak cili padinya pmempunyai kadar tertinggi dalam kencing manis apa lagi dalam penyakit jantung tersumbat? mungkin paling tinggi juga kerana peranan santan dalam gulai lemak cili padi. Entahlah kerana tak ada statistik yang diberikan.

Pakar otopedik memberi pesan 3 C dalam penjagaan diabetes mellitus.
1st C--- care
2nd C -- control
3rd C -- cut

Peranan pengamal perubatan yang paling utama adalah melakukan C yang pertama dan kedua supaya komplikasi dapat dielakkan atau diperlambat. Kalau dah masukl C yang ketiga maka ianya dah terlambat kerana anggota tubuh terpaksa dipotong dan kaki dah jadi kudung. Kajian yang dilakukan didapati pesakit yang diamputasi anggota tubuhnya mengambil masa lebih dari satu tahun untuk menerima hakikat yang anggota tubuhnya sudah kudung. Cuma 40% yang mampu kembali bekerja sedangkan yang lain terpaksa meninggalkan pekerjaan asal kerana dah jadi orang OKU.
Diabetic foot care sangat penting jika seseorang telah disahkan terkena penyakit daibetes melitus.Kaki mudah terjangkit kuman kerana bekalan darah berkurangan kebahagian kaki dan mudah menjadi kebas. Lama kelamaan kaki dah tak ada deria rasa sehinggakan jika tercucuk benda tajampun tak akan terasa sakit. Bila luka maka kudis akan sulit untuk disembuhkan dan lama kelamaan bahagian yang luka akan menjadi mati iaitu gangrane .Bila ini terjadi maka pakar otopedik akan melakukan C yang ketiga iaitu cut.
Berdasarkan perbincangan sewaktu seminar doktor endokrinologi memberi tahu bahawa sekarang ini pesakit yang menggunakan insulin diajar bagaimana mengatur dos suntikan yang perlu diambil. Istilah ini disebut titration of insulin dosage. Target yang ingin dicapai adalah kadar gula dalam darah sewaktu berpuasa tidak lebih dari 7 mmol. Caranya adalah dengan mengambil kadar gula setiap hari menggunakan glucometer.Jadi pesakit diajar bagaimana menggunakan alat ini. Jika kadar gula tinggi maka dos insulin akan dinaikkan dan jika rendah maka akan diturunkan.Ini bagi saya amat menarik dan merupakan sesuatu yang baru.

Satu lagi masalah utama rakyat Malaysia adalah berkurangnya secara mendadak peratus kelahiran bayi. Lima tahun yang lalu kadar kelahiran adalah 2.6 % tetapi kini dah jatuh 2.2% dan angka ini dijangka akan terus berkurangan. Puncanya kerana lambat kahwin dan kecenderungan pasangan untuk mempunyai anak yang sedikit.Barbagai faktor tentunya mempengaruhi perkara ini tetapi faktor utama adalah masalah isteri yang bekerja dan kos kehidupan yang semakin meningkat. Ironinya kadar jangka hayat semakin meningkat dan generasi kita menuju ke tahap aging society dimana jumlah golongan lanjut usia akan menjadi semakin besar sedangkan jumlah generasi muda semakin berkurangan. Masalah ini sedang terjadi di negara maju dan pemerintah mereka menggunakan berbagai pendekatan untuk menggalakkan golongan muda supaya berkahwin lebih awal dan mempunyai anak yang lebih ramai.Nampaknya usaha ini sukar untuk berjaya kerana dua faktor yang saya sebutkan tadi.

Kos untuk menyara golongan tua amat tinggi terutama kos perubatan.Jadi bersiap sedialah kita menghadapi masalah ini. Wassalam

No comments:

Post a Comment