Friday, February 5, 2010

Saya ingin menyambung cerita tentang BMI yang telah saya tulis semalam. Di syarikat kami telah dimulakan program mengukur tinggi dan mengambil berat badan semua staff supaya dapat dikumpul data untuk menentukan BMI. Data-data ini akan dijadikan sebagai data asas untuk mengetahui tahap BMI semua staf. Setalah data-data tersebut dikumpul maka akan dilancarkan program untuk memberi tahu staf tentang tindakan yang perlu diambil supaya tindakan susulan dapat dibuat. Staf yang BMInya melebihi paras normal akan diminta mengikuti program yang akan disusun oleh pihak syarikat untuk membantu mereka mencapai BMI yang normal.Antara langkah yang akan diambil adalah memberi kaunseling, mengadakan program riadah, menggalakkan staf menggunakan tangga sebagai ganti lift, menguruskan stress dan sebagainya. Kesedaran perlu dipupuk kerana tindakan yang konsisten perlu dilakukan jika ingin menurunkan BMI supaya berada pada tahap normal.
Banyak syarikat telah menjalankan program secara tersusun untuk mengawal BMI anggota pekerja mereka. Bukti telah menunjukkan bahawa staf yang mempunyai BMI pada tahap normal akan lebih sihat dibandingkan dengan mereka yang obese. Saya mendapat maklumat dari beberapa orang kawan dari syarikat lain bahawa kos perubatan yang perlu dikeluarkan oleh syarikat mereka telah berkurangan sejak program ini dijalankan. Jadi saya juga akan membuat kajian setakat mana kos perubatan staf dapat dikurangkan nanti apabila program ini berjalan sepenuhnya.
Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu banyak syarikat yang terpaksa mengurangkan kemudahan rawatan bagi anggota pekerja. Jika selama ini staf disediakan kemudahan untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta tetapi kini mereka diarah mendapatkan rawatan di hospital-hospital kerajaan kerana rawatan di hospital swasta akan menelan belanja yang tinggi. Oleh kerana kewangan syarikat semakin menurun maka pihak pengurusan tak ada pilihan kecuali mengambil tindakan yang sedemikian. Dulu banyak syarikat yang menggunakan insuran untuk menguruskan masalah rawatan staf mereka di hospital swasta tetapi setiap tahun premium insuran akan naik dan tentu kos rawatan yang perlu dikeluarkan oleh sesuatu syarikat akan terus naik. Oleh itu banyak syarikat yang telah berhenti membeli insuran dan mengarahkan semua staf mendapatkan rawatan di hospital kerajaan. Kos rawatan dihospital swasta juga terus naik kerana kos ubat , peralatan perubatan dan bahan habis pakai juga terus meningkat naik. Ini adalah putaran yang berterusan bagi semua sektor dan ianya tak dapat dielakkan. Menurut prinsip mudah dalam bisnis apabila bahan yang dibeli naik maka kos perkhidnatan juga akan naik. Memang ini adalah putaran yang terpaksa dilalui. Apabila syarikat menghentikan pembelian insuran kesihatan maka pihak syarikat insuran akan menghadapi masalah dan bila insuran menghadapi masalah maka jumlah pesakit ke hospital swasta juga akan berkurangan. Ini adalah kesan dari kegawatan ekonomi dunia.Kita berharap masalah ini akan segera berlalu dan kegawatan ekonomi dunia akan cepat diatasi.
Secara prinsip menjadi tanggungjawab setiap insan untuk menjaga kesihatan diri masing-masing. Soal sakit atau tidak adalah diluar jangkaan kita dan diluar kawalan kita tetapi ada penyakit yang terjadi kerana tingkah laku manusia. Contoh diabetes dan darah tinggi ada yang terjadi kerana masalah kegemukan dan faktor pemakanan. Disamping itu cara hidup manusia yang malas untuk melakukan riadah. Masalah stress yang berterusan akan memudahkan seseorang itu jatuh sakit. Jadi faktor makanan, cara hidup dan kemampuan kita menangani masalah stress ini amat menentukan tahap kesihatan seseorang. Oleh itu pilihan ditangan kita dan mencegah penyakit adalah lebih baik dari mengubatinya.
Wassalam

No comments:

Post a Comment