Sunday, November 15, 2009

Hari ni 16/11/09 bersamaan 28 zulkaidah
Menyambung tentang penyakit Diabetes mellitus. Penyakit ini jika sudah disahkan dihidapi oleh seseorang maka ianya akan kekal sampai keakhir hayat. Masalah utama penyebab penyakit ini adalah kerana kegagalan pankreas untuk mengeluarkan insulin dalam jumlah yang mencukupi diikuti pula oleh reseptor insulin di sel yang tidak sensitif. Jika pengeluaran insulin oleh pankreas telah berkurangan maka tak akan ada cara lain untuk mengatasinya. Pemberian ubat oral adalah untuk merangsang sahaja agar lebih banyak insulin dikeluarkan. Jika tak ada ubat maka jumlah insulin yang dikeluarkan tidak akan mencukupi. Selain ubat, latihan jasmani boleh membantu merangsang reseptor insulin di sel agar lebih sensitif terhadap tindak balas insulin. Oleh kerana masalah utama adalah kegagalan insulin untuk memproses semua glukos yang ada dalam darah maka langkah yang wajar adalah mengurangkan pengambilan gula dan bahan-bahan yang menyebabkan kadar gula dalam darah meningkat. Dengan cara ini maka masalah kadar gula yang tinggi dalam darah dapat diatasi. Selain gula bahan-bahan berkanji seperti nasi, tepung, ubi dan keledek akan ditukar menjadi glukosa oleh tubuh. Jadi walaupun kita tidak mengambil gula secara langsung tetapi jika banyak memakan bahan berkanji maka kadar glukosa dalam darah tetap akan tinggi. Jadi untuk memudahkan pengawalan kadar glukosa dalam darah maka perlu dilakukan tiga perkara berikut:

- senaman
-diet
-makan ubat
Disiplin yang tinggi dituntut jika ingin mempastikan kadar glukosa dalam darah terkawal. Oleh kerana penyakit ini berkekalan sehingga akhir hayat maka ramai pengidap penyakit ini yang gagal mengawal diri. Oleh itu kadar komplikasi penyakit ini sangat tinggi sehingga ramai pesakit yang sudah mengalami kerosakan buah pinggang dan buta mata diusia muda . Malah ada yang dah dapat komplikasi ini sebelum mencapai usia 40 tahun. Suatu tragedi sedih yang meragut kesejahteraan seorang insan.
Di pasaran terdapat lebih dari sepuluh jenis ubat-ubatan darah tinggi. Ini menimbulkan kesulitan kepada pesakit untuk mengingati nama ubat yang digunakan oleh mereka. Warna dan bentuk ubat sentiasa berubah .Oleh itu jika hanya mengingati warna dan bentuk maka pesakit akan keliru. Untuk menjamin kesejahteraan diri maka pesakit tidak ada pilihan kecuali mengingat nama ubat dan cara memakannya. Jumlah tablet yang dimakan mungkin berubah setiap kali pesakit berjumpa doktor kerana pemberian ubat tergantung kadar glukos dalam darah setiap kali diperiksa bila pesakit berjumpa doktor. Jika bulan ini kadar glukos tinggi maka dos ubat juga akan tinggi tetapi jika bulan depan kadar glukos dah menjadi rendah tentu dos ubat juga akan rendah. Perkara ini cukup menimbulkan kekeliruan kepada pesakit. Oleh itu para doktor mempunyai tanggungjawab yang sangat berat untuk memberikan penjelasan yang secukupnya kepada pesakit supaya mereka faham tentang perkara ini. Di samping itu pembantu farmasi atau pharmacist yang mendispen ubat juga perlu memberikan maklumat yang secukupnya supaya pesakit faham. Peranan kaunseling sangat kritikal untuk menentukan komplian pesakit terhadap ubat yang diberikan kerana mereka terpaksa makan ubat seumur hidup. Persoalannya berapa ramai doktor, pharmacist atau pembantu farmasi yang melaksanakan tugas ini. Bagaimana pula jika ubat didispen oleh pembantu klinik swasta. Mereka sendiripun tak mempunyai ilmu yang mencukupi tentang perkara ini kerana hanya sekadar lulusan SPM. Untuk mendispen ubat secara betul sekurang-kurangnya seseorang itu perlu mempunyai diploma dalam bidang farmasi.Jadi kita masih jauh lagi untuk mencapai matlamat ini. Oleh itu jika anda menghidap penyakit diabetes mellitus maka dapatkan maklumat yang betul dan anda faham tentang cara mengawal penyakit ini. Jangan biarkan diri anda menjadi mangsa komplikasi penyakit ini.
Wassalam

No comments:

Post a Comment