Thursday, November 26, 2009

Hari ni 26/11/09 bersamaan 9 zulhijah.
Hari ni adalah hari wuquf di arafah dan malam ni kita akan menyambut Aidiladha.
Di Negeri Sembilan hari ni adalah hari bantai iaitu menyembelih binatang sama ada lembu atau kerbau secara gotong royong diikuti dengan membuat lemang. Di NS ramai yang lebih suka menyembelih kerbau. Saya dah terlepas peluang ni kerana orang tua dah tak ada lagi dan kampung pun dah tinggal kosong.
Malam ni kita akan mula taqbir sampailah habis 13 zulhijah yang termasuk hari tashriq. Di taman tempat saya tinggal masih ada kegiatan takbir bergerak yang dimulai dari surau selepas isya'. Kumpulan ini akan bergerah dari rumah ke rumah sampailah ke rumah yang terakhir. Biasanya akan dibahagi kepada dua kumpulan supaya boleh selesai menjelang 12 tengah malam.
Biasanya lepas sembahyang raya akan diadakan majlis korban. Kegiatan ini masih berjalan setiap tahun.
Tadi pagi saya ke KL kerana ada mesyuarat dan bila pulang ke Seremban selepas zohor jalan dah mula sesak. Jadi sampai Nilai langsung ikut jalan kampung . Kalau tidak akan mengambil masa yang panjang untuk masuk ke bandar Seremban. Nampaknya kegiatan balik kampung masih diamalkan oleh masyarakat kita. Cuma bila dah ada di kampung kegiatan menziarah agak berkurangan tak macam dulu. Kini banyak masa dihabiskan menonton TV yang merupakan kegilaan baru masyarakat kita. Malah ada penulis yang melabelkan TV sebagai tuhan kedua. Ini memang label yang sangat ekstrim. Maksudnya masyarakat sanggup melupakan ziarah saudara mara, jiran tetangga hanya kerana asyik menonton TV. Kalau di Britain bila sampai waktu krismas TV dikunci dalam stor selama tiga hari supaya mereka tak terganggu dengan kegiatan menonton TV ni. Jadi mereka ada masa melayan tetamu. Tapi kita tak macam tu. Tetamu yang datangpun terpaksa juga menonton TV. Kadang kala nak bercakap pun susah kerana suara tamu terpaksa bersaing dengan suara TV . Malah tuan rumahpun bercakap dengan tetamu tak melihat muka kerana asyik menonton TV. Memang dah jadi penyakit baru.
Sebut tentang penyakit ni lepas raya nanti banyak yang masuk hospital kerana gout, darah tinggi dan kencing manis. Maklum saja banyak makan sup dan rendang daging, air sirap dan air bergas. Penyakitpun kambuhlah.
Selamat menyambut Aidiladha maaf zahir batin. Sampai jumpa hari isnin.
wassalam

No comments:

Post a Comment