Thursday, April 8, 2010

Beberapa hari yang lepas di laporkan di dalam akhbar tentang peristiwa yang amat menyayat hati.Seorang ibu yang masih dalam pantang selepas bersalin tiba-tiba menikam dua anaknya yang sedang tidur dengan gunting. Mujur kecederaan yang dialami oleh anak-anak tersebut tak begitu serius. Dilaporkan juga kecedaraan serius dapat dielakkan kerana kanak-kanak tersebut tidur dalam keadaan meniarap.Kalau terlentang mungkin terkena bahagian yang lebih sensitif sehingga boleh menyebabkan kecederaan yang lebih teruk.
Punca si ibu mengamuk kerana tekanan perasaan yang tak dapat dikawal. Di kabarkan si ibu baru melahirkan anak down syndrom dan ini mungkin menyebabkan dia tertekan perasaan yang amat sangat.

Kalau dulu istilah ini disebut gila meroyan iaitu keadaan ibu yang tertekan bila lepas bersalin. Istilah moden yang digunakan adalah depression.

Penderitaan ibu sewaktu mengandung dan selepas melahirkan anak memang tak terperi.Macam-macam boleh jadi.Sebab itu bantuan suami dari segi sokongan moral dan semangat amat penting. Bila sahabat bertanya pada Rasulullah siapa yang perlu aku hormati selepas Allah dan Rasul, maka jawab nabi ,ibu mu.Kemudian ditanya lagi siapa setelah itu. Jawab nabi, ibu mu, kemudian ditanya lagi siapa selepas itu, jawab nabi ibu mu, dan terakhir barulah jawab Nabi bapa mu. Artinya martabat ibu tiga kali ganda dari bapa kerana penderitaan ibu mengandung anak, melahirkan anak, menyusukan anak dan mengasuh anak adalah amat berat dan wajar diberikan penghormatan yang tinggi.

Cuma di zaman yang serba canggih ini banyak anak-anak yang tak menghormati ibu dan ayah mereka. faktor utama adalah kerana cara mereka dibesarkan oleh ibu dan ayah mereka. Jadi menjadi tanggungjawab ibu dan ayah mendidik anak supaya patuh kepada ajaran agama.Bila mereka patuh secara otomatik mereka akan taat pada ibu dan bapa.

Apa akan jadi pada si ibu tadi sama-samalah kita lihat nanti.Buat masa ini kitapun tak pasti dari segi hukum.Bagaimana pula suami wanita tadi akan meneruskan perjalanan hidup mereka , kitapun masih tak pasti. Apa akan jadi kepada anak-anak tadi bila mereka membesar nanti, pun kita tak pasti. Bagi saya kejadiaan ini pertama kali saya baca. Apakah pernah terjadi sebelum ini, saya memang tak pasti.

Beberapa bulan yang lepas anak membunuh nenek, bapa dan adiknya sendiri. Kes ini masih sedang dibicarakan.

Sebelum inipun ada diberitakan suami membunuh isteri dan anak-anaknya dan dia sekarang juga sedang dibicarakan di mahkamah.

Jadi kejadian-kejadian yang seperti ini amat menyayat hati kita.Marilah kita banyakkan berdoa supaya kita dijauhkan dari segala musibah ini. Perbaikilah tingkah laku dan sikap kita pada Sang Pencipta supaya kehidupan kita diberkati dan sentiasa dilindungi dari segala macam musibah. Benda-benda yang ghaib kita tak tahu dan tak ada siapa yang pasti apa akan menimpa kita di masa hadapan.

Tugas manusia adalah berdoa dan berusaha memenuhi tanggugjawab sebagai seorang insan.

Ada satu lagi berita yang menarik perhatian kita. Pagi tadi sambil memandu saya mendengar berita radio. Dilaporkan ramai wanita merokok kerana kononnya rokok boleh menguruskan badan.Saya tak pasti macam mana mereka boleh membuat kesimpulan seperti ini.Yang pasti merokok boleh mendatangkan berbagai bencana kepada perokok dan orang-orang yang berada disekelilingnya.

Wassalam

No comments:

Post a Comment