Friday, September 18, 2009

Hari ni 19/9/09 bersamaan 29 Ramadhan. InsyaAllah besok dah satu Syawal. Umat Islam akan menyambut AidilFitri besok dengan melaungkan Taqbir dan Tahmit. Berakhirnya Ramadhan berarti kita meninggal bulan seribu rahmat dan bulan pengampunan.Tahun depan belum tentu kita akan berjumpa semula dengan Ramadhan al Mubaraq. Malah dah ramai sahabat kita yang mati di jalanraya dalam rangka menuju destinasi masing-masing untuk menyambut Syawal. Semalam sahaja 14 orang maut, 7 di Perak dan 7 di Selangor.Setiap kali perayaan begitulah yang terjadi. Apapun ini adalah ketentuan Ilahi. Cuma sebagai insan kita wajib berusaha untuk mengelak kemalangan ini.
Malam ni InsyaAllah kita akan mula bertakbir. Kalau di kampung memang terasa meriahnya . Banyak rumah yang menyalakan pelita di sekeliling pagar. Tapi hati-hati jangan sampai ada rumah yang terbakar kerana asyik bermain api. Biasanya pada malam ini akan diadakan takbir bergerak dari rumah ke rumah.
Taman-taman perumahan dah mula kosong.Waktu ni jugalah pencuri mula mengintai peluang. Bagi mereka yang tak ada kampung berayalah kita di taman masing-masing. Di taman tempat saya tinggal tradisi takbir bergerak ni di amalkan. Syukur budaya yang baik ni masih diamalkan. Kalau tidak hambarlah sambutan hariraya. Kunjung mengunjung kerumah jiran dan taulan hanya berlaku bila ada open house. Ini tradisi baru di bandar. Kanak-kanak akan ramai yang datang tapi cuma nak minta duit raya. Nak buat macam mana ,itulah tradisi baru di bandar.
Malam ni banyaklah air gas dan rokok akan digunakan. Mereka yang selama ini menahan diri tapi mulai malam ni seolah-olah seperti terlepas dari penjara.Yang sakit kencing manis, yang sakit darah tinggi, yang sakit jantung dan yang sakit asthma serta bermacam-macm lagi penyakit seolah-olah terlupa yang mereka perlu berpantang dan mengawal makanan. Bila ditegur maka jawapan spontan yang akan didengar adalah, alah setahun sekali takkan tak boleh. Begitulah kita tuan puan dalam menjalani hidup ini. Selama kita berpuasa tahap kesihatan kita sepatutnya berada pada tahap yang lebih baik. Berat badan sepatutnya sudah turun 3 hingga 4 kilo. Ini akan membantu meningkatkan kesihatan kita. Berat badan yang berlebihan akan membebankan organ-organ dalam badan dan mendedahkan kita kepada risiko penyakit. Kalau nak tahu berat badan yang ideal gunakanlah formula yang mudah ni. Ilmu ini saya dapat sewaktu bertugas di Indonesia di mana salah seorang doktor pakar mengajarkan saya tentang formula ni. Berat badan ideal = Tinggi badan dalam sentimeter- 100. Contohnya jika tinggi tuan 160cm maka berat ideal adalah 160-100 = 60 kg. Jadi tak payah nak pusing kepala menggunakan BMI .
Pankreas dalam badan kita akan lebih effisien setelah sebulan kita berpuasa. Ini adalah kerana selama sebulan ia tak dibebani untuk mengeluarkan banyak insulin selama kita berpuasa pada waktu siang.Jjadi masuk bulan Syawal pankreas akan lebih efficien. Bagi mereka yang menghidap kencing manis maka lebih mudah untuk megawal penyakit ini dengan syarat ubat-ubatan dimakan mengikut ketetapan doktor, kawal makanan dan riadah.
Usus kita yang telah berehat selama satu bulan di siang hari juga akan lebih effisien ibarat kereta yang baru di overhaul. Jadi jangan sampai bulan Syawal ni perut kita dibebani dengan makanan yang terlampau banyak kerana ini akan merosakkan usus kita ibarat injin yang baru di overhaul perlu dibawa perlahan dahulu untuk beberapa puluh kilometer sebelum ianya boleh dipecut laju. Jika langsung dipejut laju injin tersebut boleh rosak kembali. Begitu jugalah usus kita.
Banyak penyakit yang boleh dihindari dan boleh di kawal dengan puasa . Sebab itu Rasulullah mengajarkan kita agar mengamalkan prinsip ini dalam urusan makan minum. Makanlah kamu bila kamu lapar dan berhentilah makan sebelum kita kenyang. Perut kita ni perlu dibahagi kepada tiga bahagian iaitu satu bahagian untuk makan, satu bahagian untuk air dan satu bahagian untuk udara.
Dalam bulan Syawal nanti marilah kita langsanakan 6 hari berpuasa kerana kata Nabi barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dan diikuti dengan berpuasa 6 hari dibulan Syawal maka ia ibarat sudah berpuasa selama 1 tahun. Begitulah pemurahnya Allah subhanahu wataala.

Selamat menyambut AidilFitri al Mubaraq.
Wassalam

No comments:

Post a Comment