Monday, September 28, 2009

Hari ni 29/9/09 bersamaan 10 syawal. Wah angka 999 ni nampak macam gah. Ingat tak rancangan TV 999.
Menyambung tentang cerita semalam. Bila anda pergi ke klinik dan mendapat ubat yang tak di tulis nama nya, apakah anda berpuas hati . Tidakkah anda pernah terfikir sama ada ubat itu betul ataupun tidak. Tidakkah anda terfikir sama ada ubat itu expired atau tidak. Sepatutnya di zaman moden ini kita sebagai pengguna perlu lebih kritikal. Jika tersalah makan ubat mungkin penyakit lain pula yang akan datang. Ubat yang telah expired mungkin boleh menimbulkan keracunan pada manusia atau paling kurang tidak mendatangkan apa-apa kebaikan.
Sebelum ini saya pernah menulis tentang kegagalan program vaksinasi kerana vaksin yang tidak lagi efektif akibat dari penyimpanan di suhu yang tidak sesuai. Saya ada menyebut tentang "cold chain" yang telah putus. Begitu jugalah kalau kita ke klinik atau hospital yang tidak mengambil kira tentang kawalan mutu ubat-ubatan. Ubat-ubatan mempunyai peraturan tentang penyimpanan di suhu yang betul . Saya sangsi jika ada klinik swasta yang memasang air condition di dalam stor penyimpanan ubat. Perlu diingat ada ubat-ubatan yang akan rosak jika tidak disimpan di suhu yang betul walaupun masih belum expired. Tarikh expiry hanya berlaku jika suhu penyimpanan ubat adalah betul . Saya juga pernah ke klinik dan melihat di dalam peti sejuk terdapat bermacam benda selain ubat-ubatan. Ini akan menyebabkan suhu peti sejuk tersebut tidak lagi sesuai untuk menyimpan ubat-ubatan. Jika ubat-ubatan telah expired apakah pemilik premis akan membuangnya atau terus menjual.Siapa yang nak periksa semua itu. Ya hanya kejujuran pemilik premis sahaja yang boleh mengatur semuanya. Jika beliau terus menjual ubat tersebut tidak akan ada siapa yang tahu kecuali dia dan Tuhan.
Sayapun tidak pasti sampai bila pemerintah akan membiarkan klinik mendispen ubat tanpa perlu menulis nama ubat, nombor batch dan tarikh luput ubat-ubatan tersebut. Sepatutnya jika kita mengaku seorang professional maka ketiga-tiga maklumat tersebut perlu ditulis di botol atau bekas ubat yang didispen kepada pesakit. Sebagai pengguna mereka berhak untuk mengetahui perkara tersebut supaya ubat-ubatan yang diperolehi oleh mereka betul, dan tidak expired.
Sebagai pengguna kita perlu bijak dalam berbelanja termasuk mendapatkan rawatan bila sakit .Jika kita ingin mendapatkan rawatan yang selamat dan berkualiti maka sebaiknya kita ke hospital swasta yang telah mendapat akreditasi dari MSQH atau sekurang-kurangnya mendapat pengiktirafan standard ISO 9001. Kerana apa tuan puan? Sebabnya jika telah terakreditasi atau ada ISO maka ketiga-tiga perkara yang saya sebutkan tadi tu wajib dilaksanakan jika tidak akreditasi atau ISO akan ditarik balik. Di samping itu suhu penyimpanan ubat sudah pasti betul kerana perkara itu merupakan salah satu keperluan bagi akreditasi atau ISO. Saya rasa sekarang ini tidak sulit untuk mendapatkan hospital yang sebegini kerana sudah banyak hospital swasta atau kerajaan yang telah mendapat akreditasi atau ISO 9001.
Satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian adalah cara kita menyimpan ubat-ubatan di rumah. Jika dah dapat ubat pastikan disimpan di tempat yang betul dan selamat. Jika ingin disimpan di dalam peti sejuk sebaiknya dimasukkan sampul plastik kedalam bekas kedap udara supaya uap air dari peti sejuk tidak masuk kedalam ubat tersebut dan merosakkannya. Jika suhu penyimpanannya mengikut suhu bilik maka tak perlulah menyimpannya di dalam peti sejuk. Cukup di simpan dalam bekas kedap udara dan jauh dari kanak-kanak. Sudah banyak kes yang dilaporkan di mana kanak-kanak termakan ubat orang tua mereka dan ini menyebabkan kecelakaan yang tak perlu.
Jika anda ke klinik untuk mendapatkan rawatan maka tanyalah petugas yang memberi anda ubat tentang nama ubat dan bila tarikh luput ubat tersebut. Anda berhak mendapatkan maklumat itu kerana anda membayar perkhidmatan yang disediakan. Jadilah pengguna yang bijaksana kerana tujuan anda ke klinik adalah untuk mendapatkan rawatan bagi penyakit yang anda hadapi bukannya untuk mendapat masalah lain.Pilihlah tempat yang anda rasa selamat untuk dikunjungi. Pilihan ada di tangan anda.
Wassalam

No comments:

Post a Comment