Thursday, January 28, 2010

Hari ini 29/1/10 bersamaan 13 safar.
Hari pertama saya di Dubai terasa memang sungguh asing kerana tak ada kawan. Untuk makan tengahari saya cuba mencari kedai makan di sekitar hotel tempat saya menginap tapi tak jumpa. Saya kemudian cuba masuk ke city square yang terletak kira-kira 500 meter dari hotel coptrone. Bila masuk ke sana memang banyak restoran tapi semuanya menggunakan jenama barat.Macam-macam restoran yang ada tapi satupun tak ada tanda halal.Pekerja restoran pula kebanyakan orang Filipina. Memang ramai rakyat tempatan yang makan disitu tapi saya jadi ragu-ragu sama ada makanan tersebut halal atau tidak. Jadi hilang selera nak makan. Saya keluar dari tempat tersebut dan mencari tempat lain. Mujur tak berapa jauh dari situ saya ternampak sebuah restoran pakistan. Saya langsung masuk dan ternyata pekerja semuanya laik-laki Pakistan. Saya memesan roti prata dan segelas teh susu. Kuah yang dipesan adalah kuah kari bercampur sayur. Memang masakannya menyelerakan kerana rasanya sama dengan masakan mamak di negara kita. Teh susunya memang istimewa, lain dari teh tarik di negara kita. Saya rasa, rasanya seperti teh tarik dekat Mekah. Mungkin susu yang digunakan sama kerana minuman tersebut disediakan oleh orang Pakistan.Kat mekah pun mereka yang jual.Bercakap tentang teh susu ni saya teringat teh susu yang saya minum sewaktu berkunjung ke Yemen pada tahun lepas. Di sana teh susunya pun cukup sedap.Selesai makan saya langsung membayar di kaunter dan saya dikenakan caj 9 dirham. Rasa puas jugalah makan di situ walaupun agak mahal dibandingkan dengan tempat kita. Lepas makan saya merayap di sekitar bandar Dubai sambil mengambil gambar. Ramai orang Filipina yang saya jumpa dan semuanya tersenyum dengan saya. Mungkin mereka menyangka saya juga dari sana kerana muka mereka mirip dengan muka melayu. Jadi taklah terasa terasing sangat berjalan seorang diri.
Menjelang petang saya sekali lagi berkunjung kerestoran tersebut. Kali ni saya memesan roti arab dengan lauk kambing kari serta segelas teh susu. Wow memang sedap masakannya. Lepas makan saya membayar di kaunter dan kosnya kali ini adalah 15 dirham kerana ada lauk kari kambing. Tak apalah janji makan puas dan perut kenyang. Waktu malam saya tak berani keluar walaupun pemandu teksi kata bandar Dubai aman. Saya tak berani nak ambil risiko, maklum negara orang. Lebih baik lepak dalam hotel. Macam biasa kerana masalah jetlag saya susah nak tidur . Sampai pagi cuma tidur-tidur ayam. Mata ni masih tak mampu nak menyesuaikan diri. Membuat panggilan telefon ke Malaysia tak ada masalah. Cuma perlu gunakan international code 006 dan langsung dail number yang yang nak dipanggil.Saya mendapat maklumat tentang dial code tersebut melalui internet. Inilah kemudahan internat yang banyak membantu kita pada hari ini. Dalam bilik hotel ada tanda kiblat dan juga dua naskah al quran. Satu naskah tanpa terjemahan dan satu naskah lagi menggunakan terjemahan Inggeris. Jadi lepas solat sempat jugalah membaca al Quran. Kita perlu menjadikannya sebagai amalan harian kita. Soket elektriknya juga sama dengan Malaysia. Jadi tak ada masalah untuk menggosok baju dan nak caj telefon bimbit. Biasanya kalau keluar negara saya akan membawa adaptor international kerana lain negara lain sistemnya. Saya dapati sistem elektrik di Dubai sama dengan di Dublin. Jadi kita tak ada masalah. Kalau di Indonesia atau yemen sistemnya lain dan perlu gunakan adaptor.
Waktu subuh jam 5 pagi dan magrib pula jam 6 petang. Jadi cepat satu jam dibandingkan dengan Malaysia.
Sampai jumpa besok.Wassalam

No comments:

Post a Comment