Monday, October 19, 2009

Hari ni 20/10/09 bersamaan 1 zulkaidah. Dah habis dah bulan raya. Sekarang bulan kenduri untuk pergi haji. Tadi malampun kami kenduri untuk meraikan beberapa orang teman yang akan berangkat ke tanah suci. Nampaknya perayaan di Malaysia ni berterusan tanpa henti. Syukur kepada Allah di atas kemewahan limpahan rezeki. Di tempat lain usahkan kenduri nak makanpun susah.
Saya mendapat banyak maklumat dari pemandu teksi di Dublin. Katanya di Dublin sahaja terdapat 16000 pemandu teksi. Dengan penduduk yang hanya 1.3 juta jumlah ini relatif banyak. Kata beliau pekerjaan yang paling mudah dilakukan bila kena buang kerja adalah memandu teksi. Sepanjang pengamatan saya di sekitar hotel tempat kami menginap cukup banyak teksi sejak dari pagi sampai malam. Tak tahulah mereka dapat penumpang atau tidak. Pengangkutan awam berupa bas dua tingkat cukup banyak dan meliputi setiap tempat di Dublin. Bas nya pula baru-baru belaka. Sebab itu saya rasa rakyat lebih suka naik pengangkutan awam dibandingkan dengan memandu sendiri.
Bangunan di Dublin tak ada yang mencakar langit. Paling tinggipun enam tingkat. Difahamkan memang menjadi dasar pemerintah tidak membenarkan pembinaan bangunan pencakar langit. Tujuannya adalah untuk mengekalkan struktur bangunan yang ada. Kebanyakan bangunan dindingnya tidak di plaster. Jadi kekallah dengan bata merah. Cantik juga dan cukup unik lagi pula tak perlu keluar belanja untuk mengecat bangunan.
Di sepanjang jalan ke tempat conference dan ke bandar saya dapati cukup banyak iklan untuk menyewakan bangunan. Tanda "To let" tu bersepah-sepah di mana. Ini mungkin gambaran tentang kemuraman ekonomi setempat. Waktu saya menonton TV skynet ada disebutkan tentang jumlah pengangguran sebanyak 2.47 juta di UK dan dalam waktu 3 bulan terakhir sahaja sejumlah 80000 orang pekerja di UK telah diberhentikan. Perdana Menteri UK juga telah mengumumkan untuk melelong 16 billion aset negara untuk mendapatkan duit tunai. Begitulah teruknya kemelesetan ekonomi yang melanda Eropah. Ireland juga tak terlepas dari masalah ini.Seperkara yang kita puji pemerintah mereka cukup transparen dengan rakyat. Apapun masalah yang dihadapi dikongsi bersama dengan rakyat dengan memberi gambaran yang jelas tentang kemelesetan ekonomi di negara mereka.
Di pusat bandar Dublin pun ramai peminta sedekah. Saya sangka fenomina ini hanya berlaku di negara yang sedang membangun. Rupanya di negara majupun masalah ini ada. Selain peminta sedekah ada juga golongan yang membuat persembahan musik dan pertunjukan untuk mendapatkan duit. Kalau di Indonesia ianya disebut pengamen.Di negara kita entah apa istilahnya sayapun kurang tahu.

Selama saya berada di Dublin saya tak nampak satupun klinik doktor atau GP. Saya mendapat maklumat yang doktor swasta membuka klinik di rumah masing-masing. Sistem ini nampaknya sama seperti di Indonesia. Saya rasa kalau dibenarkan di negara ini para doktorpun akan cukup gembira kerana tak perlu menyewa kedai yang tentunya harga sewa cukup tinggi. Jadi doktor ini akan on call 24 jam kerana bekerja di rumah sendiri. Premis farmasi cukup banyak dan saya tak pasti apakah dispensing right sudah diamalkan di sini ataupun belum .Biasanya di negara maju amalan ini sudah lama berjalan. Artinya klinik doktor tidak dibenarkan menyimpan dan menjual ubat. Doktor hanya mengeluarkan preskripsi dan ubat boleh didapati dari premis farmasi.
Besok kita sambung. Wassalam

No comments:

Post a Comment