Wednesday, March 17, 2010

Keputusan yang cemerlang dalam peeriksaan universiti amat penting untuk memudahkan siswazah bersaing bagi mendapatkan pekerjaan yang sesuai.Perkara ini amat penting untuk menyambung di peringkat sarjana atau bekerja dengan syarikat ternama terutama milik pelabur asing. Mereka tentu melihat calon yang mempunyai keputusan peperiksaan yang cemerlang sebagai pilihan utama.
Bila dah bekerja banyak faktor lain yang akan menentukan perkembangan kerjaya seseorang. Antara faktor-faktor penentu adalah:
-sikap
-hubungan dengan pihak atasan, rakan sejawat dan pihak bawahan
-disiplin diri
-sikap tolak ansur dengan berbagai pihak
-kesanggupan menerima tekanan kerja
-sikap tak mudah berputus asa
-motivasi diri yang sentiasa tinggi
-sikap sedia membantu tanpa disuruh
-penglibatan dalam setiap aktiviti organisasi
-keyakinan diri yang tinggi

Faktor-faktor diatas akan menentukan perkembangan kerja seseorang pekerja. Mereka yang mementingkan diri, selalu menganggap diri mereka sahaja yang betul dan sentiasa melemparkan kesalahan pada orang lain akan menghadapi berbagai masalah terutama dengan pihak atasan dan rakan sejawat.
Satu lagi sikap yang amat negatif adalah amat berkira dengan kerja yang diberikan.Mereka yang bersikap begini akan dipulau olah rakan sejawat. Saya banyak melihat pekerja yang sebegini tidak akan bertahan lama dan akhirnya terpaksa mengundur diri bila dipencilkan oleh rakan sejawat. Mereka yang selalu mengeluh juga akan menghadapi masalah untuk meneruskan sesuatu kerjaya.

Sikap yang paling penting adalah menyukai kerja yang sedang dilakukan dan bukannya hanya melakukan apa yang kita suka. Jika kita menyukai kerja yang dilakukan maka kita akan melakukannya dengan cara yang terbaik. Jika kita tidak suka maka kita akan sentiasa mencari berbagai alasan dan sentiasa berharap untuk mendapatkan kerja yang lain yang kita anggap akan memberikan kebaikan kepada kita. Jika begini sikap kita sampai bila akan terus mengeluh dan mencari pekerjaan baru. Mereka yang bersikap seperti ini akhirnya akan sampai pada satu tahap tidak lagi akan bekerja kerana merasa semua kerja tak sesuai dengan dirinya.

Sikap positif dan sabar amat penting untuk mendaki kerja ketahap yang lebih tinggi.Rezeki tak dapat kita tentukan bila ianya akan datang. Kalau kita sentiasa positif maka Allah pasti akan memberi kita balasan yang terbaik bila sampai waktunya. Sikap seperti ini disebut sikap bersyukur. Jika sentiasa mengeluh maka sikap yang seperti ini akan membawa kesan buruk pada kita dan keluarga kita.

Orang yang selalu melompat kerja tidak akan dapat membina kerjaya. Memang ada segolongan pekerja yang berjaya mendaki ke tangga yang lebih tinggi bila dia sentiasa melompat. Saya pernah berjumpa dengan seorang pengurus bank yang mengatakan jika ingin cepat naik maka perlu melompat kerja setiap empat hingga lima tahun. Sayapun tak pasti berapa ramai yang berjaya melakukannya. Kita kena ingat setiap kali kita melompat kerja maka kita terpaksa menghadapi suasana kerja yang baru dan menanggung risiko yang tinggi. Jika berjaya menyesuaikan diri maka kita akan mendapat apa yang kita inginkan tetapi seandainya gagal menyesuaikan diri mungkin kita akan menyesal. Jadi perlu difikirkan dan diteliti secara matang sebelum membuat sebarang keputusan.Keputusan mesti kita yang tentukan bukan terikut orang lain. Peduli apalah orang nak kata apa. Kalau kita yakin maka lakukanlah kerana kita yang akan menanggung risikonya. Tapi perlu ada persiapan rapi sebelum membuat keputusan.

Wassalam

No comments:

Post a Comment